Blogger Templates

salam mujahadah

salam mujahadah

Friday, July 23, 2010



saudara! kau merdeka dibalik alam baru,
saudara! kau merdeka dari belenggu itu,
kalau betul kau berpegang pada Tuhanmu,
apa helah makhluk tidak terbekas padamu.

saudara! kan musnah tentera zalim tak menentu,
akan muncul dialam ini satu fajar baru,
pancaran sinarnya akan memerdekakan rohmu,
lihat, nun fajar baru menari-nari menujumu,
saudara!darah badanku membeku mati,
tidak mengalir kerana ikatan abadi,
dia kan membawa ke lelangit tinggi,
bertatah medali di syurga nan abadi.

saudara! kau tangisi atas pemergian saya,
tersiram khusyuk di kuburan saya,
mereka nyalakan lilin dari reputan saya,
kejarlah dengannya kemenangan dan jaya,
saudara! jika kutidur, jumpa kekasih,
raudhah tuhanku telah tersediaa dan isih,
burung-burungnya berkepak bersilih,
berada nian berada di taman firdaus,

saudara! ikutilah kalian jejakku ini,
puak demi puak, angkatan baru susuli,
meskipun aku mati, tapi mati suci,
kalian kan lalu dengan kemenangan lagi,
ku membela nama tuhan dan agama,
dengan yakin atas nama sunnah, kujalan selama,
entah demi kemenangan di merata dunia,
entah untuk mendapat balasan dengan anbia'
( sajak Sayyid Qutb sebelum syahid- ahli gerakan ikhwanul muslimin)

Saturday, July 17, 2010



Tolong Beritahu Si Dia

Tolong beritahu si dia, aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cintaNya..
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa..
Tolong nasihati sia dia, jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..
Tolong nasihati si dia,jangan mengingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
Tolong nasihati si dia, jangan mendoakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga..
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya..
Tolong ingatkan si dia. Aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
Tolong ingatkan si dia. Aku lebih cintakan zuhudnya bukan harta..
Tolong ingatkan si dia. aku kasihinya kerana santunnya..
Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan cinta manusia..
Tolong tegur si dia, bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya..
Tolong sedarkan si dia. Aku milik Yang Maha Esa..
Tolong sedarkan si dia. Aku masih milik keluarga..
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar kepada keluarganya..
Tolong sabarkan si dia, usah ucap cinta di kala cita-cita belum terlaksana..
Tolong sabarkan si dia, andai diri ini enggan dirapati kerana menjaga batasan cinta..
Tolong sabarkan si dia, bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya..
Tolong pesan padanya. Aku tidak mahu menjadi fitnah besar kepadanya..
Tolong pesan padanya. Aku tak mahu menjadi punca kegagalannya..
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Esa menjaga dirinya..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku tidak mahu melekakan dia..
Tolong khabarkan pada si dia. Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..
Tolong khabarkan pada si dia, jadilah penyokong dalam kejayaanku..
Tolong sampaikan pada si dia. Aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
Tolong sampaikan pada si dia,cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
Tolong sampaikan pada si dia, hubungan ini terjaga selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa..
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak mampu memberitahunya sendiri….

Hanya engkau Ya Allah mengetahui siapa si dia..

Moga pesananku sampai padanya walau aku sendiri tidak mengetahui siapa dan dimana si dia..
Moga dia seekor lebah yang sentiasa memuji keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan dengan sopan santunnya dan bertemu mawar berduri yang terjaga oleh tuannya..

Simpanlah pesanan ku ini sehingga engkau bertemu diriku suatu hari nanti…

“Apabila kau ingin berteman,Janganlah kerana kelebihannya, Kerana mungkin dengan satu kelemahan,Kau mungkin akan menjauhinya….

Andai kau ingin berteman,Janganlah kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan satu keburukan,Kau akan membencinya….

Andai kau inginkan sahabat yang satu, Janganlah kerana ilmunya,
Kerana apabila dia buntu,Kau mungkin akan memfitnahnya…..

Andai kau inginkan seorang teman,Janganlah kerana sifat cerianya,
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan,Kau mungkin akan menyalahkannya….

Andai kau ingin bersahabat,Terimalah dia seadanya,Kerana dia seorang sahabat,Yang hanya manusia biasa…

Jangan diharapkan sempurna,Kerana kau juga tidak sempurna, Tiada siapa yang sempurna…

Tapi bersahabatlah kerana Allah..

Tuesday, July 13, 2010

Meninjau Semula Hukum Wanita Yang Didatangi Haid Memasuki Masjid.

Hafiz Firdaus Abdullah

Baru-baru ini ketika dijemput memberi kuliah di sebuah masjid, saya menghadapi sedikit cabaran. Saya ingin menggunakan LCD Projector untuk menayangkan Power Point Presentation. Akan tetapi memandangkan kuliah diadakan di ruang utama solat, sebahagian hadirin muslimah tidak dapat masuk ke dalam. Saya jangka ini berlaku kerana mereka ketika itu didatangi haid dan mengikut pendapat yang masyhur, wanita yang didatangi haid tidak boleh memasuki masjid. Maka para muslimah sebahagiannya ada yang duduk dalam ruang utama solat dan sebahagian lagi di tepi pintu ruang utama solat. Keadaan mereka yang terjengok-jengok di sebalik bingkai pintu mengharukan saya.

Namun pada waktu yang sama, terdapat beberapa perkara yang menghairankan saya. Jika hendak berpegang kepada pendapat yang melarang wanita haid memasuki masjid, kenapakah batas atau definisi masjid tersebut diubah-ubah? Sebagai contoh:

  • Ada yang berpendapat batas yang dilarang adalah ruang utama solat, manakala ruang serambi di sekeliling ruang utama solat dibolehkan. Lazimnya ruang utama solat adalah yang berlapik permaidani. Maka wanita yang didatangi haid tidak boleh duduk di ruang utama solat, tetapi boleh duduk di serambi yang mengelilingi ruang utama solat. Ini menghairankan saya kerana bukankah kedua-dua kawasan tersebut sebenarnya masuk dalam batas masjid?

  • Ada yang berpendapat batas yang dilarang adalah dewan solat, manakala dewan serbaguna yang lazimnya terletak di tingkat bawah dewan solat dibolehkan. Pendapat sebegini lazimnya diamalkan di masjid-masjid yang bertingkat. Maka wanita yang didatangi haid tidak boleh naik ke tingkat dewan solat, tetapi boleh ke tingkat dewan serbaguna yang terletak di bawahnya. Ini menghairankan saya kerana bukankah kedua-dua tingkat tersebut sebenarnya tetap masuk dalam batas masjid?

  • Ada yang berpendapat, batas yang dilarang hanya bangunan masjid manakala bangunan di perkarangan masjid dibolehkan. Maka dibina bangunan tambahan beserta bilik-bilik kuliah agar dapat dihadiri oleh para hadirin wanita yang didatangi haid. Akan tetapi apabila hendak diumumkan sesuatu program, akan disebut: “Esok pukul 2 petang akan diadakan kuliah tafsir untuk para muslimah di bilik kuliah A, Masjid Bukit Harimau.” Sekali pun letaknya di perkarangan, ia termasuk sebahagian daripada masjid.

  • Ada yang membezakan antara masjid dan surau. Masjid adalah binaan besar yang dilaksanakan solat Jumaat di dalamnya. Surau pula adalah binaan kecil yang tidak dilaksanakan solat Jumaat di dalamnya. Maka masjid dilarang bagi wanita yang didatangi haid sementara surau dibolehkan. Ini turut menghairankan saya kerana tidak wujud petunjuk jelas bagi membezakan antara masjid dan surau. Lebih dari itu kebanyakan surau, sekurang-kurang yang berada di Lembah Klang, saiz dan kelengkapannya jauh lebih besar dan canggih berbanding masjid Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pada zaman baginda.

Dalam penulisan ini, saya tidak bercadang untuk mengupas berkenaan batas atau definisi masjid. Akan tetapi yang menjadi tumpuan saya adalah berkenaan hukum wanita yang didatangi haid memasuki masjid dan mendiaminya.

Pendapat Para Ilmuan Dalam Persoalan Ini.

Jika dikaji kitab fiqh dari keempat-empat mazhab, akan ditemui bahawa kebanyakan mereka (jumhur) berpandangan bahawa wanita yang didatangi haid tidak boleh memasuki masjid dan mendiaminya. Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.

Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub.

Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadis no: 220 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan orang junub yang memasuki masjid). Selain itu ia juga dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 2001), perawi no: 1710 (Bab Alif: Aflat bin Khalifah), Imam Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya (tahqiq: M. Musthafa al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996), hadis no: 600 (Kitab himpunan bab keutamaan masjid, Bab tegahan duduk bagi orang yang junub dan haid dalam masjid) dan Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (tahqiq: M. ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), hadis no: 4323 (Kitab al-Solat, Bab orang junub melalui masjid dan tidak berdiam di dalamnya).

Kesemuanya melalui jalan sanad yang berpangkal kepada Aflat bin Khalifah, dari Jasrah binti Dajajah, dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha. Kedua-dua perawi di atas, Aflat bin Khalifah dan Jasrah binti Dajajah, diperselisihkan kedudukan mereka dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dil. Sebahagian ahli hadis ada yang menilai mereka lemah dan ada yang menilai mereka lebih kuat dari sekadar lemah. Ada yang menolak hadis-hadis yang mereka sampaikan, ada yang menerimanya jika ia memiliki penguat yang lain dan ada yang menerimanya secara mutlak.

Oleh itu sekali pun pada zahirnya keempat-empat mazhab bersepakat menggunakan hadis yang mereka sampaikan berkenaan larangan bagi wanita yang didatangi haid dan orang junub dari memasuki masjid, telaah yang cermat terhadap pelbagai kitab para ahli hadis dan fiqh menemukan tiga perselisihan pendapat berkenaan darjat hadis tersebut:

  1. Ada yang menilai hadis tersebut adalah dha‘if (lemah). Ini adalah penilaian Imam al-Bukhari, Imam Ibn Hazm, Imam Ibn al-Rif‘ati (ابن الرفعة), Imam al-Khaththabi, Imam ‘Abd al-Haq dan Imam Ibn Rusyd.

  2. Ada yang menilai hadis tersebut adalah hasan. Ini adalah penilaian Imam Ibn al-Qaththan, Imam Abu Daud dan Imam al-Zayla’e.

  3. Ada yang menilai hadis tersebut adalah shahih. Ini adalah penilaian Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Syaukani.

Lebih lanjut rujuk:

  • al-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari, perawi no: 1710.

  • al-Muhalla bi al-Atsar oleh Imam Ibn Hazm (tahqiq: ‘Abd al-Ghaffar Sulaiman; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, tp.thn.), jld. 1, ms. 400-401, masalah no: 262.

  • Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (Maktabah Musthafa al-Baz, al-Riyadh, 1996), jld. 1, ms. 212, hadis no: 185.

  • Bidayah al-Mujtahid oleh Imam Ibn Rusyd (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 1, ms. 541.

  • al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi (tahqiq: M. Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 129.

  • Nasbu al-Rayah fi Takhrij al-Ahadits al-Hidayah oleh Imam al-Zayla’e (Dar al-Hadits, Kaherah, 1995), jld. 1, ms, 276-277.

  • Shahih Ibn Khuzaimah, hadis no: 600.

  • Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar oleh Imam al-Syaukani (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kitab al-‘Arabi), jld. 1, ms. 344.

Perselisihan dalam menilai darjat hadis ini berterusan sehingga di kalangan para ilmuan masa kini. Di antara mereka ada yang mendha‘ifkannya dan ada yang menghasankannya. Di antara dua penilaian ini, yang manakah yang lebih tepat?

Lazimnya saya sendiri suka mengkaji lebih lanjut untuk mencari penilaian yang lebih tepat. Akan tetapi dalam bab ini ada sebuah hadis lain yang tidak diperselisihkan, sehingga dengan itu tumpuan kita tidak perlu ditujukan kepada hadis di atas yang diperselisihkan.

Kisah Seorang Hamba Wanita Yang Hitam.

Dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Solat, Bab wanita yang tidur di dalam masjid, hadis no: 439, terdapat hadis berikut daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:

أَنَّ وَلِيدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيٍّ مِنْ الْعَرَبِ فَأَعْتَقُوهَا فَكَانَتْ مَعَهُمْ.

قَالَتْ: فَخَرَجَتْ صَبِيَّةٌ لَهُمْ عَلَيْهَا وِشَاحٌ أَحْمَرُ مِنْ سُيُورٍ.

قَالَتْ: فَوَضَعَتْهُ أَوْ وَقَعَ مِنْهَا فَمَرَّتْ بِهِ حُدَيَّاةٌ وَهُوَ مُلْقًى فَحَسِبَتْهُ لَحْمًا فَخَطِفَتْهُ.

قَالَتْ: فَالْتَمَسُوهُ فَلَمْ يَجِدُوهُ. قَالَتْ: فَاتَّهَمُونِي بِهِ.

قَالَتْ: فَطَفِقُوا يُفَتِّشُونَ حَتَّى فَتَّشُوا قُبُلَهَا.

قَالَتْ: وَاللَّهِ إِنِّي لَقَائِمَةٌ مَعَهُمْ إِذْ مَرَّتْ الْحُدَيَّاةُ فَأَلْقَتْهُ.

قَالَتْ: فَوَقَعَ بَيْنَهُمْ.

قَالَتْ: فَقُلْتُ هَذَا الَّذِي اتَّهَمْتُمُونِي بِهِ زَعَمْتُمْ وَأَنَا مِنْهُ بَرِيئَةٌ وَهُوَ ذَا هُوَ.

قَالَتْ: فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ.

قَالَتْ عَائِشَةُ: فَكَانَ لَهَا خِبَاءٌ فِي الْمَسْجِدِ أَوْ حِفْشٌ.

قَالَتْ: فَكَانَتْ تَأْتِينِي فَتَحَدَّثُ عِنْدِي.

قَالَتْ: فَلاَ تَجْلِسُ عِنْدِي مَجْلِسًا إِلاَّ قَالَتْ: وَيَوْمَ الْوِشَاحِ مِنْ أَعَاجِيبِ رَبِّنَا أَلاَ إِنَّهُ مِنْ بَلْدَةِ الْكُفْرِ أَنْجَانِي.

قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لَهَا مَا شَأْنُكِ لا تَقْعُدِينَ مَعِي مَقْعَدًا إِلاَّ قُلْتِ هَذَا؟

قَالَتْ: فَحَدَّثَتْنِي بِهَذَا الْحَدِيثِ.

(Terdapat) seorang hamba wanita berkulit hitam milik satu kaum bangsa Arab yang mereka bebaskan dan dia tinggal bersama mereka.

Hamba itu berkata:

Satu ketika anak perempuan mereka keluar dengan memakai selendang merah yang dibuat dari kulit dan dihiasi dengan batu permata.

Dia meletakkannya, atau terjatuh, sehingga terbanglah seekor burung sedangkan selendang tersebut terletak di atas tanah.

Burung itu menganggap selendang tersebut adalah seketul daging lalu ia menyambarnya.

Lalu (kemudian) mereka mencari selendang tersebut namun tidak menemuinya. Akhirnya mereka menuduh aku yang mengambilnya.

Mereka mulai mencarinya sehingga memeriksa kemaluannya.[1] Demi Allah! Sungguh aku masih berdiri di kalangan mereka

sehingga tiba-tiba terbanglah burung itu dan melemparkan selendang tersebut. Selendang tersebut jatuh tepat di antara mereka.

Lalu aku berkata: “Inilah selendang yang kalian tuduh aku mengambilnya padahal aku bersih dari semua tuduhan itu dan inilah selendang tersebut.”

Maka aku datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan masuk Islam.

‘Aisyah berkata: Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid.

Hamba itu biasa mendatangiku dan berbicara denganku. Dia tidak pernah duduk di hadapanku melainkan berkata:

“Dan hari selendang itu di antara keajaiban Tuhan kami, Ketahuilah! Dari negeri kafir Dia menyelamatkann aku.”

‘Aisyah berkata: Aku bertanya kepada dia, kenapa kamu tidak sekali pun duduk bersamaku kecuali mengucapkan sedemikian?

Maka dia pun menceritakan kepadaku kisah di atas.

Menjadi perhatian kita adalah keterangan ‘Aisyah radhiallahu 'anha bahawa: “Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid.” Keterangan ini menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan kemah atau bilik kecil untuknya. Di sinilah terletak petunjuk hukum yang penting kerana wanita tersebut pasti mengalami putaran haidnya dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus tinggal di dalam masjid.

A’isyah radhiallahu 'anha tidak menerangkan sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang sudah lanjut umurnya, bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami putaran haid seperti biasa. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah seorang budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur yang telah berhenti putaran haid.

Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam masjid. Para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa kaedah untuk menghilangkan percanggahan yang wujud di antara dua atau lebih hadis. Kaedah yang pertama adalah, hendaklah hadis-hadis yang bercanggah tersebut memiliki darjat kekuatan yang sama.

Di sini kita menghadapi dua keadaan:

  • Seandainya hadis yang melarang darjatnya dha‘if atau hasan, maka ia tertolak berbanding hadis sahih yang membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Maka dengan itu wanita yang didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya tanpa sebarang halangan.

  • Seandainya hadis yang melarang darjatnya sahih, maka diperhatikan adakah salah satu darinya membatalkan yang lain. Setakat ini tidak ditemui bukti bahawa wujudnya pembatalan. Maka kaedah yang terbaik adalah menggandingkan kedua-dua hadis, antara yang melarang dan membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.

Beberapa Dalil Lain Dalam Persoalan Ini.

Terdapat beberapa dalil lain yang turut dijadikan hujah dalam persoalan ini. Tiga yang paling masyhur di antaranya adalah:

Hadis Umm Salamah.

Dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Thaharah wa Sunaniha, Bab berkenaan tegahan (wanita yang didatangi) haid dari masjid, hadis no: 645, diriwayatkan dari Umm Salamah radhiallahu 'anha sebuah hadis:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ.

Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan tidak juga bagi (wanita yang didatangi) haid.

Hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (tahqiq: Hamdi Abd Al-Majid; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn.), jld. 23, hadis no. 883. Kedua-duanya dengan sanad yang di dalamnya perawi yang bernama Mahduj al-Zuhliy dan Abi al-Khattab al-Hajari, kedua-duanya adalah perawi yang lemah. Selain itu sanadnya berpangkal kepada Jasrah binti Dajajah, perawi sama yang menyampaikan hadis riwayat Imam Abu Daud yang merupakan asas perbincangan kita. Statusnya sebagai periwayat hadis diperbincangkan.

Kemudian terdapat kesilapan di dalam hadis di atas dimana ia sebenarnya bukan diriwayatkan oleh Umm Salamah, tetapi oleh ‘Aisyah. Demikian terang Imam Abu Zur‘ah dalam al-‘Ilal li Ibn Abi Hatim, hadis no: 269 sebagaimana yang dikemukakan oleh Syaikh Khalid Dhaif Allah al-Syalahi dalam al-Tibyan fi Takhrij wa Tabwib Ahadits Bulugh al-Maram (Muasasah al-Risalah, Beirut, 2000), jld. 2, ms. 298.

Faktor-faktor di atas mencacatkan hadis Umm Salamah ini dan menyebabkan ia tidak dapat dijadikan hujah mahu pun penguat kepada hadis riwayat Imam Abu Daud yang merupakan asas perbincangan kita.

Hadis Umm ‘Athiyah.

Dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedain, Bab wanita haid tidak hadir di musholla, hadis no: 981, Umm ‘Athiyah radhiallahu 'anha berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ.

قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: "أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ,"

فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلاَّهُمْ.

Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid,

para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan.”

(Umm ‘Athiyah menyambung) dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam)

agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi musholla.

Hadis ini sebenarnya tidak berkaitan untuk dijadikan hujah. Ini kerana musholla yang diperintahkan agar dijauhi oleh wanita yang didatangi haid adalah padang atau satu tempat yang luas. Ia bukanlah masjid.

Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, solat Hari Raya dilaksanakan di tempat terbuka dan semua orang diperintahkan keluar. Termasuk yang diperintahkan keluar ialah para wanita yang didatangi haid. Wanita yang didatangi haid tidak boleh bersolat, oleh itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh mereka duduk di luar kawasan solat manakala wanita yang tidak didatangi haid duduk di dalam untuk bersolat.

Seandainya semua wanita, sama ada yang didatangi haid atau tidak, duduk berhimpun di satu kawasan, nescaya saf solat terputus-putus antara yang boleh solat dan yang tidak boleh solat.

Pentingnya, hadis di atas tidak berkaitan dengan hukum wanita yang didatangi haid sama ada boleh memasuki masjid atau tidak.

Ayat 43 Surah al-Nisa’.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ

وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا.

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar

dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub

kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi.

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang orang yang dalam keadaan junub daripada menghampiri masjid melainkan sekadar untuk melintas sahaja. Ini menunjukkan bahawa orang yang junub dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja. Orang yang junub diqiyaskan kepada wanita yang didatangi haid. Maka wanita yang didatangi haid turut dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja.

Menggunakan qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub adalah tertolak kerana beberapa sebab:

  1. Kes wanita yang didatangi haid adalah sesuatu yang berlaku pada ketika turunnya ayat di atas. Namun Allah hanya menyebut kes orang yang junub dan mendiamkan kes wanita yang didatangi haid. Memandangkan Allah mendiamkannya, maka hendaklah juga kita mendiamkannya tanpa perlu menambah-nambah.

  2. Qiyas adalah kaedah mengeluarkan hukum bagi kes-kes baru yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kes wanita yang didatangi haid bukanlah satu kes yang baru kerana ia sedia wujud pada zaman baginda. Oleh itu tidaklah tepat untuk menggunakan kaedah qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub.

  3. Antara haid dan junub, persamaannya hanya dari sudut kewajipan mandi. Selain itu terdapat beberapa perbezaan yang besar. Antaranya junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Oleh itu terdapat banyak perbezaan antara haid dan junub sehingga tidak boleh menyamakan antara kedua-duanya.

Kesimpulan Tinjauan.

Bagi wanita yang didatangi haid, para ilmuan sepakat berdasarkan dalil yang kukuh lagi jelas bahawa mereka tidak boleh solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Ada pun hukum memegang dan membaca al-Qur’an, dalilnya adalah lemah sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam artikel Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Dalam Bulan Ramadhan yang dimuatkan dalam buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa (Himpunan Risalah Berkenaan Puasa dan Isu-Isu Berkaitannya) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

Dalam artikel ini, kita meninjau pula hukum wanita yang didatangi haid sama ada boleh atau tidak untuk memasuki masjid dan mendiaminya. Tinjauan mendapati hadis yang melarang wanita memasuki masjid dan mendiaminya diperselisihkan kedudukannya antara dha‘if, hasan atau sahih. Pada waktu yang sama terdapat hadis sahih lain yang menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya.

Oleh itu apabila seseorang muslimah memiliki urusan di dalam masjid, dia boleh memasukinya dan mendiaminya. Urusan yang dimaksudkan adalah pelbagai dan ia tidak perlu sesuatu yang berada pada tahap darurat. Contoh urusan yang dimaksudkan adalah ustazah yang menyampaikan kuliah, para muslimah yang menghadiri kuliah dan para muslimah yang menziarah masjid bersejarah.

Kesimpulan ini berbeza dengan pandangan majoriti para ilmuan. Akan tetapi kesimpulan ini dicapai dengan mengkaji secara teliti dalil dan hujah para ilmuan itu sendiri tanpa melepaskan sikap hormat dan kasih sayang kepada mereka.

Jika di kalangan pembaca ada yang tidak setuju dengan tinjauan ini, maka pilihan anda saya hormati. Jika di kalangan pembaca ada yang setuju dengan tinjauan ini, maka hormatilah orang lain yang tidak setuju. Selain itu berkongsilah tinjauan ini dengan mereka yang tidak tahu, kemudian hormatilah pilihan mereka.



[1] Kenapakah disebut “kemaluannya” dan bukan “kemaluanku”? Berkata Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Secara zahirnya kalimat ini adalah perkataan hamba itu, hanya saja dia mengucapkannya dalam konteks orang ketiga untuk mengalihkan perhatian.” Fath al-Bari (edisi terjemahan oleh Amiruddin atas judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2003), jld. 3, ms. 177-178.

FACEBOOK, YAHUDI & HUKUM


Soalan

Ustaz, SYUBHAHKAH menyertai FACEBOOK? ana ada terbaca artikel yang mana pemiliknya, Mark Zucherberg menyumbangkan dana melalui penggunaan facebook ini dari seluruh dunia kepada bangsanya, Yahudi. Mohon penjelasan ustaz?

Jawapan

Soalan ini terlalu kerap dilontar kepada saya dan begitu banyak pula ditulis oleh pelbagai individu di forum dan blog.

Sebelum ini saya sendiri tidak menggunakan facebook walaupun saya telah membuat beberapa kajian serba ringkas dan membaca semua terma perjanjian yang terkandung di web facebook.

Namun ramai individu meminta dan mencadangkan saya membuka akaun facebook untuk menyebarluaskan lagi dakwah dan ilmu yang terkandung di dalam website saya. Biasanya, permintaan itu saya abaikan, sehinggalah rakan webmaster zaharuddin.net sendiri mencadangkan kepada saya, lalu saya tolak atas alasan kesibukan.

Beliau kemudian mencadangkan dibuka fanpage facebook dan bukannya facebook profile individu bagi mengelak kesibukan yang dibimbangkan tadi. Beliau juga bersetuju membantu proses pembukaan itu dan administrasi.


Atas tanggungjawab dakwah dan web saya yang kerap ditimpa masalah server akhir-akhir ini, saya izinkan beliau memulakan fanpage facebook untuk pengunjung zaharuddin.net. Boleh melawatnya di sini.

Maka sejak dari 28 Dis 2009, saya mula menjenguk facebook zaharuddin.net dan membuat pengisian serba ringkas.
Zaharuddin.net on Facebook

Kembali kepada soalan, dalam menentukan keputusan dan hukum penyertaan facebook, menurut pendapat saya, terdapat beberapa isu yang perlu diperhati dan telah saya perhati sebelum memberi izin kepda rakan webmaster saya. Ia adalah seperti berikut :-

1) Bolehkah menggunakan produk ciptaan Yahudi?

Kesimpulan bagi soalan ini telah saya ulas panjang lebar dalam artikel terdahulu. Baca di sini . Kesimpulannya, adalah dibenarkan untuk umat Islam membeli, menjual, menggunapakai produk ciptaan bukan Islam termasuk Yahudi, selagi mana ia dalam ruang lingkup yang halal.

Nabi Muhammad SAW juga diriwayatkan dalam hadis yang sohih telah berurusan dan membuat transaksi jual beli dan cagaran dengan seorang yahudi, iaitu :-

أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم اشْتَرَى طَعَامًا من يَهُودِيٍّ إلى أَجَلٍ وَرَهَنَهُ دِرْعًا من حَدِيدٍ

Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW" ( Riwayat al-Bukhari, no 2326, 2/841)



2) Apa maksud saudara penyoal dengan ayat ‘menyumbang kepada bangsa Yahudi'?

Jual beli Muslim dengan seorang Yahudi hingga memberikan keuntungan kewangan kepada dirinya tidak bermasalah sama sekali di sisi Islam, malah Rasulullah s.a.w dan para sahabat banyak yang berjual beli dengan Yahudi di Madinah.

Cuma persoalannya di sini, adalah menyumbang kepada keganasan Yahudi Zionis. Namun adakah dakwaan itu boleh dibuat dan dipercayai semudah itu, tanpa sebarang bukti jelas dan hanya bersandarkan kepada latar belakang peribadi si pengasas?



3) Adakah penyaluran dana kepada individu Yahudi atau khas ditujukan kepada proses penjajahan tanah Palestin?



Begini, jika ternyata dari sumber yang sohih, jelas lagi pasti, sesuatu transaksi jual beli kita memberikan keuntungan kepada organisasi Yahudi yang mana digunakan hasil pendapatannya digunakan untuk proses penjajahan haram, keganasan dan serangan ke atas umat Islam, tatkala itu barulah hukum HARUS berubah menjadi HARAM menurut sepakat ulama.

Dalam konteks facebook, ia masih kekal tidak jelas kerana hampir semua penulisan yang membantah facebook, tidak menyertakan bukti jelas berkenaan hal ini. Semuanya membuat andaian itu dan ini, sedangkan andaian semata-mata tidak boleh mengubah hukum asal keharusan kepada haram. Ia sekadar boleh mengajak kita untuk berhati-hati dan peka sahaja.

Malah majoriti pengguna facebook tidak melakukan sebarang transaksi kewangan dengan syarikat tersebut. Kecuali yang menyertai skim-skim yang ditawarkan (ini memerlukan perbincangan berasingan)

Jika ada pula yang mengarahkan saya membuat kajian dan mencari bukti-bukti itu sebelum memberi pandangan berkenaan status hukum. Justeru boleh saya katakan, kajian telah dibuat dan kami gagal MENDAPATI sebarang bukti untuk menyokong andaian-andaian pihak yang membuat andaian.

Jika dikatakan

"bukti bertulis tentulah dirahsiakan oleh pihak syarikat facebook dan mereka memberikan sumbangan secara senyap-senyap"

Maka jika demikian, Islam tidak memberatkan kita untuk membuat andaian dalam hal seumpama ini. Jika andaian sedemikian masih ingin digunakan, kelak mengakibatkan kesukaran berat (mashaqqah) buat seluruh umat Islam pada banyak perkara dan aktviti lain, kerana larangan dan andaian juga akan terpakai buat semua penjual bukan Islam beragama Hindu, Kristian, Buddha dan lainnya. Penjual-penjual tersebut juga boleh diandaikan menyumbang kepada gerakan melawan Islam secara senyap. Akhirnya, kita terperangkap dengan kekerasan fatwa kita sendiri, hingga bermusuh dengan semua tanpa bukti yang jelas.

Oleh kerana itu, selagi tidak disertakan dan tidak mampu dihadirkan bukti bertulis, selagi itulah hukum adalah HARUS untuk berjual beli dengan penjual atau syarikat milik Yahudi. Jika berjual beli pun dibenarkan, apatah lagi sekadar membuka akaun facebook.

Cuma mungkin keharusan berurusan dengan barangan Yahudi, boleh menjadi makruh atau syuhbat diketika wujudnya peperangan dan serangan ke atas umat Islam. Ini memerlukan penelitian ‘case by case'.

Pun begitu, pengguna facebook sukar untuk dibebankan dengan masalah ini keran amereka TIDAK BERJUAL BELI denga facebook, mereka hanya menggunakannya secara percuma. Jika dikatakan, penggunanya menyebabkan trafik facebook menjadi tinggi dan iklan mencurah masuk lalu memberi keuntungan kepada pemilik facebook. Ia juga sukar kerana kesesakan trafik bukanlah bersifat ‘direct' membantu facebook, tambahan pula sebagaimana di katakan tadi, tidak jelasnya sumbangan kepada keganasan Yahudi.

4) Privacy pengguna facebook dijajah?

Ini mungkin ada benarnya, setelah saya menghabiskan bacaan privacy policy yang terkandung di dalam web facebook, ia memberikan gambaran bahawa gambar, info dan segala yang terkandung di dalam facebook kita boleh tetap wujud di facebook orang lain yang dikongsi, dan saya yakin pihak facebook juga mempunyai simpanan data terbabit.



Policy menyebutkan :

Even after you remove information from your profile or delete your acc"ount, copies of that information may remain viewable elsewhere to the extent it has been shared with others, it was otherwise distributed pursuant to your privacy settings, or it was copied or stored by other users."

Terma ini adakalanya boleh membawa sedikit mudarat jika tidak ditangani dengan bijak oleh pengguna. Namun demikian, terma ini sahaja tidak mampu menjadi keseluruhan facebook sebagai haram.

Selain itu, juga disebutkan :

To respond to legal requests and prevent harm. We may disclose information pursuant to subpoenas, court orders, or other requests (including criminal and civil matters) if we have a good faith belief that the response is required by law. This may include respecting requests from jurisdictions outside of the United States where we have a good faith belief that the response is required by law under the local laws in that jurisdiction, apply to users from that jurisdiction, and are consistent with generally accepted international standards. We may also share information when we have a good faith belief it is necessary to prevent fraud or other illegal activity, to prevent imminent bodily harm, or to protect ourselves and you from people violating our Statement of Rights and Responsibilities. This may include sharing information with other companies, lawyers, courts or other government entities."

Berdasarkan kepada terma di atas. Sebenarnya pihak facebook mempunyai hak untuk mendedahkan informasi kita kepada mana-mana berdasarkan alasan yang disebut di atas. Tiada takrif jelas bagi yang disebut di atas, semua masih tetap terpulang kepada keputusan pihak facebook. Maka menyerahkan info dan gambar kita kepada syarikat tertentu, CIA, FBI atau apa jua badan kerajaan adalah hak facebook jua.

Walaupun begitu, ia sekali lagi tidak cukup kuat untuk sampai menjadikan pengunaan facebook sebagai haram, apa yang perlu adalah kawalan dan had limit.


KESIMPULAN

Saya tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu baik dan buruk penggunaan Facebook, cuma apa yang ingin saya nyatakan sebagai kesimpulan adalah seperti berikut :-

· Hukum membuka akaun dan menggunakan facebook adalah HARUS selagi tidak terbukti ia menggunakan pengaruh dan keuntungannya untuk menyerang Islam atas nama facebook samada melalui dana kepada Yahudi, Amerika dan lainnya.



· Bagi mereka yang masih tidak selesa dengan latarbelakang pengasas dan syarikat facebook, mereka dinasihatkan untuk TIDAK MEMBUKA DAN MENYERTAI FACEBOOK. Mereka boleh terus memberi nasihat kepada pengguna facebook agar sentiasa berhati-hati, namun tidak boleh dengan sewenangnya menuduh pengguna facebook melakukan perkara haram secara umum.

· Bagi mereka yang ingin mengambil sikap lebih berhati-hati mereka disarankan untuk :-

a- Memanupulasi akaun facebook untuk manfaat Islam melebihi kepentingan peribadi. Justeru, ruang yang ada wajar digunakan untuk mempromosi kefahaman Islam melalui tulisan, video, audio dan sebagainya.

b- Limitasikan dan kurangkan perbincangan soal remeh temeh peribadi yang membuang masa diri dan orang lain.

c- Tidak sehingga berkongsi terlalu banyak gambar peribadi ( khsusunya bagi wanita) sejak zaman kanak-kanak tanpa had limitasi, tanpa kawalan ia bakal membawa mudarat berbanding manfaat. Di samping ia akan kekal di facebook orang yang dikongsi dan juga syarikat facebook.

d- Tidak memasukkan perincian peribadi yang sensitif khususnya seperti akaun bank, taraf kesihatan dan sebagainya. Cukuplah sekadar menyertakan nama, tarikh lahir dan pendidikan.

e- Tidak terlibat dengan permainan-permainan dan aplikasi yang dijangka bercanggah dengan Islam seperti kuiz ramalan nasib. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

f- Tidak mempercayai aplikasi tilik moden seperti rahsia tarikh kelahiran dan sepertinya yang terkandung dalam aplikasi percuma facebook. Sama ada atas dasar ‘main-main' atau tidak.

g- Menyedari bahawa maklumat kita di facebook boleh menjadi database pihak asing untuk memantau kehidupan dan informasi peribadi kita jika tidak dikawal. Database sebegini sebenarnya amat bernilai dan sukar ada satu organisasi di dunia ini yang mampu menyimpan maklumat manusia sebagaimana facebook. Hatta parti politik masing-masing pun tidak mempunyai maklumat ahlinya yang sebegitu update sebagaimana facebook. Justeru, maklumat sebegini amat banyak gunanya untuk sebarang tujuan kejahatan dan ketamakan.

Jika itu semua dapat dijaga dan disedari, saya kira mengguna dan membuka akaun facebook adalah kekal dalam hukum HARUS atau DIBENARKAN, malah jika ia lebih banyak digunakan untuk kemaslahatan Islam, ia DIGALAKKAN. Malah jikalau terdapat unsur syubhat sekalipun, ia telah diatasi oleh manfaat yang disebarkan melalui facebook itu.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Monday, July 12, 2010

Buat para daei...
Hidupmu penuh pancaroba...
Hadapinya dengan Tabah...
Hatimu di uji dengan keikhlasan...
Kawallah ia sepanjang masa...
Amalan kita terletak sejauh mana keikhlaan kita...
Bukan pada beratnya tugas yg dilaksanakan...
Sedarlah lemahnya diri kita...
Hanya amalan daei yg diharapkan...
menyelamatkan diri diakhirat sana...
- salam istiqamah...-